Musim tengkujuh adalah sesuatu yang
kita akan lalui setiap kali hujung tahun atau awal tahun, Kita mendegar
kejadian banjir yang berlaku di merata tempat di dalam negara, yang mana
memberi kesan yang besar kepada kehidupan manusia seperti kehilangan nyawa,
kerosakan harta benda yang besar dan kemusnahan tempat kediaman. Tentunya kita
masih belum dapat dilupakan, bagaimana
banjir besar pada tahun 2014 yang melibatkan beberapa negeri seperti
kelantan, Perak, Pahang dan Terengganu dengan kerosakan harta benda yang agak
besar, dan menjejaskan hampir dua ratus ribu orang penduduk.
|
kejadian bencana tidak boleh dipandang ringan |
Kedudukan
Malaysia terletak
dalam kawasan khatulistiwa dan
jarang sekali mempunyai keadaan langit tidak berawan langsung. Cahaya matahari
juga boleh diperolehi setiap hari, tanpa mengira musim.
Jarang sekali Malaysia mengharungi tempoh di mana cahaya matahari tidak
kelihatan, walaupun semasa musim monsun timur laut. Iklim Malaysia adalah
mempunyai suhu yang seragam sepanjang tahun, dengan julat perbezaan suhu yang
agak kecil sepanjang tahun. Udaranya mempunyai kadar kelembapan
yang tinggi, dan mempunyai tiupan angin yang, pada keseluruhannya, agak lemah.
Cuaca
di Malaysia dicirikan oleh dua jenis monsun iaitu Monsun Barat Daya dari akhir
bulan Mei ke September, dan Monsun Timur Laut dari bulan Oktober ke Mac. Monsun
Timur Laut membawa hujan lebat terutamanya kepada negeri-negeri di pantai timur
Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak, manakala Monsun Barat Daya secara
relatifnya adalah lebih kering.
Banjir merupakan suatu yang sinonim
dengan negara kita, Malaysia. Kebiasaannya, negara ini akan dilanda banjir pada
musim tengkujuh, iaitu sekitar bulan November dan berakhir pada bulan Mac tahun
berikutnya kerana dalam tempoh ini negara berada dalam musim monsun timur laut.
Selain
banjir yang biasa berlaku pada musim tengkujuh, terdapat satu lagi jenis banjir
yang sering melanda negara ini tanpa mengira musim atau bulan, iaitu yang kita
panggil banjir kilat, yang sering berlaku dikawasan kediaman yang berhampiran
dengan sistem saliran seperti anak sungai atau perparitan.
Faktor yang terjadi banjir kilat
adalah akibat hujan lebat yang berterusan, dan apabila sistem saliran air tidak
dapat menampung air yang banyak, kerana saliran yang tersumbat dengan
sampah sarat dan rumput rumpai, maka
akan berlakulah limpahan ke kawasan kediaman dan kediaman dimasuki air.
Pembangunan pesat sesuatu kawasan
juga menjadi punca banjir kilat, seperti kawasan - kawasan tanah rendah yang
ditebus guna, anak - anak sungai yang ditimbus untuk dijadikan tapak bagunan.
Pemusnahan hutan menyebabkan hujan
yang turun tidak diserap oleh tumbuhan, dan air ini terus menuju ke sungai
dengan begitu banyak, menyebabkan sungai tidak mampu menampung jumlah air dan
melimpah ke tebing sungai.
Faktor lain adalah hakisan sungai,
yang disebabkan oleh faktor semula jadi dan faktor sisa domestik, seperti
sampah sarat yang dibuang ke dalam sungai, lama kelamaan menyebabkan sungai
menjadi cetek, dan akibatnya apabila hujan lebat melanda maka akan
menyebabkan sungai tidak dapat menampung
jumlah air sungai yang bertambah, ini menyebabkan berlaku limpahan air sungai,
dan berlakulah banjir.
Banjir kilat juga boleh berlaku kerana
kekurangan sistem perparitan yang dibina atau ianya dibina terlalu kecil dan
cetek, tidak sepadan dengan jumlah air yang perlu ditampung menyebabkan air
melimpah keluar dan bertakung di kawasan rendah.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara,
Negeri, dan Daerah selaku pihak yang bertanggungjawab dalam hal pengurusan
bencana, yang mana jawatankuasa ini terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan
atau bukan kerajaan, telah merancang hal berkaitan persiapan menghadapi bencana
alam, tugas - tugas menyelamat semasa bencana, dan bantuan - bantuan kepada
mangsa semasa dan selepas bencana,
Dengan berpegang kepada konsep SEBELUM, SEMASA, DAN SELEPAS kejadian banjir; jawatankuasa ini
bertanggungjawab dalam memastikan rakyat berada dalam keadaan bersiap sedia
menghadapi banjir.
Agensi penyelamat seperti Angkatan
Pertahanan Awam Malaysia(APM), Polis Diraja Malaysia, Bomba dan Penyelamat,
Angkatan Tentera Malaysia, RELA, Jabatan Kebajikan Masyarakat, dan lain - lain
agensi berkaitan sentiasa bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan berlaku
banjir atau bencana akibat daripada hujan yang lebat.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia
selaku sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah
bertanggungjawab mengkoordinasikan dan menyelaras dari segi persiapan
menghadapi bencana, tugas operasi menyelamat agensi penyelamat, pengurusan
pusat pemindahan, pelaporan kejadian bencana bagi memastikan tindakan yang
proaktif dan pantas dapat dilakukan semasa bencana, dan pelaporan bantuan
bencana dan agihan bantuan kerajaan kepada mangsa yang terlibat.
Memohon kepada semua dan kita selaku
rakyat Malaysia, tidak seharusnya mengambil mudah atau bersikap endah - tak
indah. Kita sepatutnya mengambil tanggungjawab ini bersama dan tidak hanya
menyerahkan kepada kerajaan semata - mata dalam menguruskan nya tanpa kita
turut menyokongnya.
|
Berpindah segera jika berlaku banjir |
Beberapa langkah persiapan boleh
kita sebagai rakyat ambil bila berlaku bencana di kawasan kediaman kita,
Persedian kita di masa musim tengkujuh yang boleh kita ambik adalah seperti berikut:
SEBELUM BANJIR BERLAKU
1. Dapatkan
maklumat terkini tentang banjir di tempat tinggal kita.
2. Menyimpan dokumen penting seperti
surat beranak atau kad pengenalan diri dan ahli keluarga dalam bag yang selamat
dan mudah dicapai apabila diarahkan atau perlu berpindah, kerana kad pengenalan
diri amat penting apabila kita perlu mendaftarkan diri di pusat pemindahan.
3. Kita
hendaklah peka dengan sistem amaran banjir atau hebahan semasa yang
disampaikan melalui radio, sosial media
& online, televisyen dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan serta
Bilik-Bilik Gerakan Banjir Negeri atau Daerah yang berhampiran.
4. Siapkan ubat - ubatan yang perlu
diambil secara berjadual di dalam satu bekas yang kalis air.
5. Pastikan
di mana Pusat Pemindahan di kawasan kita yang telah ditetapkan oleh pihak
berkuasa supaya mudah mengambil tindakan bila di arahkan.
6. Sediakan
peralatan kecemasan dan bekalan makanan secukupnya di rumah bimbang jika kita
terperangkap akibat banjir yang mengejut.
7. Bersama
memeriksa saluran air/ parit berhampiran kediaman kita kita tersekat.
8. Menyimpan
peralatan elektrik di tempat tinggi.
9. Memberi
tahu jiran kita dan bersedia untuk berpindah bersama.
Apabila berlaku banjir maka
hendaklah kita mengambil langkah - langkah berikut iaitu:
SEMASA BANJIR BERLAKU
1.
Apabila menerima arahan berpindah,
segeralah berpindah ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan tanpa ragu - ragu
kemi keselamatan diri dan ahli keluarga.
2. Berpindah awal sebelum banjir bertambah
teruk atau pada waktu siang adalah langkah yang amat baik kerana ianya lebih
mudah dan selamat.
3. Berpindah ke tempat tinggi, jauh dari
kawasan lapang, sungai dan longkang.
4. Jangan menyentuh kabel - kabel elektrik
yang terjatuh dalam air banjir.
5. Mengawasi anak - anak dari bermain air
banjir
6. Mematikan sumber elektrik dan
gas di rumah jika air telah masuk dalam rumah atau kita berpindah ke pusat
pemindahan.
7. Jika
kita berpindah kerumah saudara mara hendaklah kita memaklumkan kepada ketua
kampung atau ketua komuniti tempat tinggal kita.
8. Jika kita berpindah sendiri ke
pusat pemindahan hendaklah kita pastikan laluan yang selamat dan elakkan dari
melalui laluan yang kita tidak biasa.
9. Elakkan dari menggunakan air banjir
bagi urusan harian untuk mengelak dari terkena sebarang wabak penyakit.
10. Segera mendapatkan rawatan
kesihatan di pusat - pusat kesihatan yang disediakan oleh kerajaan semasa
bencana banjir di jika kita atau ahli keluarga dijangkiti wabak penyakit cirit
birit atau sebagainya.
Kita
tidak boleh mengambil mudah tentang apa - apa perkara berkaitan dengan bencana
kerana dengan perubahan iklim dunia yang tidak menentu ini, bencana banjir juga
boleh berlaku diluar jangkaan kita atau yang biasa kita hadapi di tahun - tahun
sebelumnya.
Kegagalan
kita mengambil langkah - langkah segera akan merisikokan diri kita dan ahli
keluarga.
SELEPAS BERLAKUNYA BANJIR
Selepas berlaku banjir kita juga
harus peka kepada beberapa perkara seperti:
1.
Mendengar
pengumuman radio atau tunggu arahan pihak berkuasa, jangan kembali sebelum
dibenarkan
2.
Periksa
rumah anda jika terdapat rekahan dan tanda - tanda bahaya.
3.
Berhati
- hati dengan binatang berbahaya yang mungkin terdapat di dalam timbunan sisa
banjir.
4.
Memeriksa
perkakasan elektrik dan pendawaian mungkin telah tenggelam dalam banjir.
5.
Buangkan
makanan yang telah ditenggelami banjir.
6.
Periksa
kerosakan pada tangki septik untuk elak bahaya biologikal
7.
Melaporkan
segera sebarang kerosakan kemudahan awam kepada pihak berkuasa.
Pengetahuan
dan ilmu dalam persiapan menghadapi banjir ini dapat kita diperolehi melalui
agensi - agensi berkaitan seperti dari APM, Bomba dan lain - lain agensi yang
berkaitan, pihak ketua kampung atau komuniti boleh memohon untuk mengadakan
sesi penerangan atau latihan kepada penduduk secara berkala dalam kampung atau
komuniti sendiri, dan kerjasama penduduk dalam menjayakan nya amat diperlukan.
Musim
tengkujuh ini adalah sesuatu yang biasa kita hadapi setiap tahun, walau
bagaimanapun kita tidak boleh mengambil mudah dan tidak endah terhadap perkara
ini. Jadilah rakyat yang prihatin.
Sikap prihatin semua terhadap
bencana banjir sangant diperlukan bagi mengurangkan kesan / impak sesuatu
bencana kepada keluarga, masyarakat dan negara.